Kasut tumit tinggi


Setiap wanita mahukan tampak cantik dan anggun. Namun, kasut tumit tinggi dan wanita sememangnya tidak dapat dipisahkan kerana ia pelengkap gaya serta memberi keyakinan kepada si pemakai. Pelbagai komplikasi akibat fesyen ini yang akhirnya membuatkan anda tidak dapat menggayakan kasut tumit tinggi ini lagi jika tiada langkah berjaga-jaga diambil. Selain rekaannya yang cantik, kasut tumit tinggi juga membuatkan seseorang wanita berdiri dengan gaya yang menawan berbanding berkasut rendah.

Kasut tumit tinggi juga membuatkan wanita itu tampak berkarisma dan menarik serta meningkatkan keyakinan diri si pemakainya. Oleh kerana itu, ia menambahkan sentimeter pada si pemakai agar kelihatan setanding dengan supermodel yang berjalan di atas pentas peragaan.

Realitinya, tiada yang baik mengenai kasut tinggi kecuali rekaannya. Apa yang wanita tidak sedar atau pura-pura tidak sedar, pemakaian kasut tinggi merosakkan badan mereka.

Selain kecenderungan yang tinggi untuk terseliuh di bahagian buku lali, pelbagai lagi masalah disebabkan oleh kasut tumit tinggi seperti radang saraf dan ligamen, sakit pada belakang buku lali, otot betis memendek dan sakit belakang yang kronik.

Image

MASALAH

Setiap masalah ada jalan penyelesaiannya. Pengarah Urusan Myortho dan Pakar Orthotik dan Prostetik, Edmund Lee berkata, kaki adalah asas badan yang perlu dijaga dengan betul agar tidak menganggu sistem lain yang menjejaskan kesihatan.

“Masalah yang sering dihadapi mereka yang gemar berkasut tumit tinggi antaranya bunion (halllux valgus) iaitu ibu jari kaki masuk ke dalam ke arah jari kedua lalu menyebabkan benjolan pada bahagian luar kaki di sebelah ibu jari kaki.

“Ini akan menyebabkan rasa tidak selesa timbul terutamanya ketika memakai kasut yang bertutup di hadapan dan runcing sehinggakan ada kes memerlukan pembedahan.

“Tekanan berat badan pada hujung kaki juga akan menyebabkan jari ketiga dan keempat menyempit lalu menyebabkan kesakitan pada saraf.

“Keadaan itu juga akan menyebabkan darah tidak dapat bergerak dengan betul kerana tersekat lalu menyebabkan kesakitan.

“Betis turut akan memendek dan tegang akibat tumit tertolak ke atas dan akibatnya kaki sering mengalami kekejangan dan sakit di bahagian tumit.” ujarnya yang baru-baru ini mengadakan Karnival 1Malaysia Kaki dan Tulang Belakang Sihat di Tropicana City Mall, Petaling Jaya. Karnival itu bertujuan meningkatkan kesedaran penjagaan kaki dan tulang belakang di Malaysia.

Menurut Edmud,  kulit di beberapa bahagian kaki yang sering menerima tekanan akan mengeras seperti di bahagian tapak kaki, di bawah jari serta bahagian tepi hujung kaki.

Lutut pula akan mula sakit kerana kasut tumit tinggi menyebabkan badan tidak stabil lalu lutut digunakan untuk mengimbangi badan.

Kasut tumit tinggi turut menyebabkan kesakitan akibat saraf bengkak atau menebal pada bola kaki yang digelar morton’s neuroma, pembesaran tulang dibelakang tumit (kecacatan hagland) dan jari bengkok (claw hammer).

Selain bahagian kaki, masalah serius yang dihadapi oleh si pemakai kasut tumit tinggi yang tegar ialah sakit bahagian tulang belakang.

Menggunakan kasut tumit tinggi akan menyebabkan pinggul condong ke depan dan menambahkan lengkungan pada tulang belakang.

Tulang belakang akan miring ke belakang bagi menyokong keseimbangan badan lalu memberikan tekanan pada tulang belakang.

PENCEGAHAN 

Terang Edmud, tidak salah jika tidak mahu ketinggalan mengikuti perkembangan fesyen berkasut tumit tinggi asalkan tidak memakainya dalam tempoh yang lama dalam satu masa dan mengamalkan pelbagai langkah penjagaan seperti senaman kaki selepas berkasut tumit tinggi.

“Seelok-eloknya, kasut tumit tinggi hanya dipakai pada majlis tertentu untuk tempoh beberapa jam sahaja.

“Beri sokongan yang lebih terhadap tapak kaki dengan memilih kasut tumit tinggi yang mempunyai tapak berbentuk atau menggunakan lapik dalam kasut khas mengikut bentuk kaki sendiri.

“Kasut tumit tinggi yang melebihi empat inci ketinggiannya amat bahaya kepada kaki dan tulang belakang di samping menjejaskan keselamatan si pemakai,” ujarnya.

Ketinggian yang sesuai dengan bentuk kaki sebenarnya paling maksimum iaitu 1.5 inci sahaja untuk kegunaan dalam tempoh lama.

Ujarnya lagi, senaman dan regangan amat perlu terutamanya bagi mereka yang sering menggunakan kasut tumit tinggi setiap hari seperti model dan pramugari.

Senaman dilakukan dengan melunjurkan kaki dan mengangkat hujung kaki beberapa kali bagi memberi kelegaan pada buku lali,

Regangan kaki terutama pada bahagian betis boleh dilakukan dengan menjarakkan kaki ke bahagian sisi dan menekannya ke bawah beberapa kali.

Juga digalakkan bertemu dengan pakar orthotik dan prostetik bagi menjalani rawatan manipulasi kaki bagi membetulkan tulang yang sering bergesel bagi mengurangkan geseran.

“Apa pun, penjagaan kaki dari awal amat penting supaya tidak memudaratkan ketika tua,”ujarnya.

BENJOLAN BELAKANG TUMIT 

Bahagian belakang kasut tumit tinggi yang selalunya keras dan kejang akan merengsakan tumit lalu membentuk benjolan tulang yang turut dikenali kecacatan Haglund’s.

KECEDERAAN BUKU LALI

Kestabilan yang berkurangan ketika berkasut tumit tinggi menyebabkan wanita berisiko tinggi untuk terseliuh atau patah tulang pergelangan kaki,

METATARSALGIA

Kasut tumit tinggi menyebabkan berat badan tertumpu kepada hujung kaki. Memakai ia terlalu lama membuatkan sakit yang serius pada bebola kaki.

high-heel-shoes

LUTUT 

POSTUR badan yang berubah ketika berjalan memakai kasut tumit tinggi menyebabkan tekanan yang kuat pada dalam lutut – sama seperti simptom osteoporosis di kalangan wanita. Kajian  menunjukkan tekanan meningkat sebanyak 26 peratus ketika berkasut tumit tinggi.

POSTUR

Kasut tumit tinggi menolak sebahagian besar tengah badan ke depan membuatkan punggung dan tulang belakang tidak selari.

BETIS

OTOT betis mengecut dan menyesuaikan diri dengan sudut kasut tumit tinggi. Otot akan pendek dan menegang.

MORTON’S NEUROMA

KETINGGIAN kasut tumit tinggi dan hujung kasut yang sempit menyebabkan tisu di sekeliling saraf antara jari ketiga dan keempat menebal dan akan menyebabkan kesakitan serta kebas.

TENDON ACHILLES

Apabila bahagian depan kaki melunjur ke bawah mengikut sudut kasut tumit tinggi, tendon Achilles menegang. Lebih tinggi kasut tumit tinggi, lebih pendek tendon membuatkan kesakitan pada tumit.

BUNION

Kasut tumit tinggi yang selalunya ketat di hadapan menyebabkan tulang luar kaki sebelah ibu jari kaki bengkok dan membesar pada sendinya lalu menyebabkan sakit. Hujung kasut yang runcing menolak jari kaki yang kecil menjadi bengkok di bahagian sendi tengah, lama-kelamaan otot pada jari kedua, ketiga dan keempat tidak boleh diluruskan walaupun ketika tidak memakai kasut.


INFO

  • Bawa kasut kedua yang bertumit rendah dan dipakai pada tempoh yang lebih panjang seperti di pejabat dan ketika berjalan-jalan.
  • Lakukan senaman regangan kaki sekurang-kurangnya dua kali sehari selama lima minit.
  • Kaki lebih besar sekitar pukul 5 petang hingga 6 petang terutamanya pesakit kencing manis dan darah tinggi dan ia waktu paling sesuai membeli kasut.
  • Kasut tumit tinggi menyebabakan kaki sering dibengkok dan turut memendekkan otot betis apabila memakainya terlalu lama.
  • Kajian menunjukkan selepas 20 hingga 50 tahun memakainya kasut tumit tinggi, ia memendekkan betis sehingga 13 peratus membuatkan ketidakselesaan ketika memakai kasut tumit tinggi.
  • 64 peratus wanita yang mengalami sakit bahagian belakang kaki sering memakai kasut tumit tinggi.

One thought on “Kasut tumit tinggi

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s